Sunday, November 22, 2009

Kemenangan yang Pasti!

Kemenangan yang Pasti!

“Dari Nu’man bin Basyir dari Hudzaifah bin al-Yaman r.a., berkata: Rasulullah SAW., bersabda: Adalah masa Nubuwwah itu ada di tengah-tengah kamu sekalian, adanya atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Ia telah menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak Kenabian (Khilafah ‘Ala Minhajin Nubuwwah), adanya atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Ia telah menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian adalah masa Kerajaan yang menggigit (Mulkan ‘Adhan), adanya atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila ia telah menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian adalah masa Kerajaan yang diktator (Mulkan Jabariyyah), adanya atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya, apabila ia telah menghendaki untuk mengangkatnya. Kemudian adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak Kenabian (Khilafah ‘Ala Minhajin Nubuwwah). Kemudian (Nabi), diam”. (Musnad Ahmad bin Hanbal)



Hadith diatas telah diriwayatkan oleh Hudzaifah bin al-Yaman r.a dari Rasulullah s.a.w kira-kira 15 abad yang lalu. Satu hadith yang menceritakan akan fasa-fasa yang akan dilalui oleh umat ini; umat yang bersyahadah akan Allah sebagai rabb dan ilah, dan umat yang mengakui bahawa Muhammad Ibnu Abdullah merupakan Rasulullah yang diutuskan untuk menyampaikan berita-berita gembira.

Secara umumnya, penceritaan Rasulullah yang serba ringkas dalam hadith tersebut boleh dibahagikan kepada 5 babak, iaitulah:

Babak Pertama : Nubuwwah

Babak kedua : Khilafah ‘Ala Minhajin Nubuwwah

Babak Ketiga : Kerajaan yang menggigit

Babak keempat : Kerajaan Diktator

Babak kelima : Khilafah ‘Ala Minhajin Nubuwwah

Babak pertama dalam hadith ini; fasa kenabian, adalah babak yang paling singkat diantara fasa-fasa yang lain. Ianya bermula pada tahun 610 masihi, apabila Rasulullah s.a.w menerima wahyu di gua hira’ dan berakhir pada 633 masihi, apabila wafatnya Rasulullah s.a.w di Madinah al-Munawwarah. Latar tempat fasa ini rata-ratanya mengambil tempat di Makkah dan Madinah. Disebalik latar masa yang singkat dan latar tempat yang kecil, fasa ini adalah fasa yang terpenting jika dibandingkan dengan fasa-fasa lain. Fasa inilah yang menyaksikan lahirnya seorang Rasul dari rahim Aminah binti Abdullah yang kemudiannya memulakan perjuangan merubah dunia yang sedang pekat dalam kejahiliyyahan kepada cahaya Islam. Akhirnya, tika saat wafatnya Rasulullah s.a.w, seluruh jazirah Arab berada dibawah naungan cahaya Islam.

Wafatnya Rasulullah s.a.w, kekasih Allah ini tidak sekali-kali menghentikan usaha umat ini untuk menyebarkan risalah da’wah ini kepada umat manusia. Lantas, Abu Bakar As-Siddiq melaungkan

‘Barangsiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat, barangsiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya allah sentiasa hidup’

Maka, berlangsunglah fasa kedua dalam hadith tersebut, fasa khilafah yang mengikut jejak kenabian. Fasa ini dipelopori 4 tokoh yang kesemuanya dijanjikan syurga oleh Rasulullah s.a.w; Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Usman Al-Affan, dan Ali Karramallahuwajhah. Ianya ini dinamakan ‘khilafah ala minhaj nubuwwah’ adalah kerana ianya diperintah oleh 4 tokoh yang terbaik diantara ‘generasi terbaik‘ dan menjalankan pemerinatahan dengan penuh ketaqwaan dan amanah sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. Fasa ini berlaku selama 30 tahun, bermula pada 10Hijrah, apabila umat Islam membai’ah Abu Bakar sebagai khalifah dan berakhir pada 17 Ramadhan 40Hijrah, apabila terbunuhnya Ali di Kufah di tangan pemberontak.

Muawiyyah bin Abu Sufyan mengambil alih posisi khalifah setelah pembunuhan Saidina ali r.a. Pemerintahan Muawiyyah menandakan bermulanya fasa ketiga dalam hadith diatas. Fasa ini bermula pada tahun 40hijrah, apabila bani umayyah mengambil tampuk pemerintahan umat dan berakhir pada 1342hijrah (1924) apabila Sultan Abdul Hamid ke-2 dari kerajaan Uthmaniyyah dibuang dibuang dari takhta. Ianya berlangsung selama 1302 tahun dan diwarnai tiga kerajaan Islam yang besar; Umayyah, Abasiyyah dan Uthmaniyyah. Watan Islam berkembang pesat pada fasa ini, dan kemuncaknya pada zaman Abasiyyah apabila 2/3 populasi dunia adalah terdiri dari umat Islam.

Rasulullah menamakan fasa ini dengan ‘Mulkan ‘Adhan’ (raja/kerajaan yang menggigit) dan bukannya khalifah adalah kerana beberapa sebab. Antaranya:

1. Pewarisan pemerintahan dilakukan secara monarki(keturunan) dan bukannya syura;

2. Umat Islam tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pemerintahan;

3. ‘Adhan (menggigit) mungkin digunakan kerana Al-Qur’an dan sunnah tidak digenggam erat sebagaimana para sahabat dan para khulafa’ Rasyidin;

4. ‘Adhan (menggigit) juga mungkin digunakan kerana terdapat sebahagian pemerintah yang bertindak zalim dan melampaui batas dalam pemerintahan mereka;

5. Walaubagaimanapun istilah ‘khalifah’ digunapakai hanya sebagai lambang jawatan dan bukannya fungsi.

Perancangan rapi barat untuk menumbangkan umat Islam akhirnya terealisasi apabila salah satu dari bidak binaan mereka; Mustafa Kamal Attarturk Berjaya menggulingkan Sultan Abdul Hamid ke-2 dari takhtanya. Umat Islam yang tidak pernah hidup tanpa kuasa pusat (central Authority) sejak 14 abad akhirnya kehilangan sumber penyatu dan pelindung ini pada tahun 1924. Dengan itu bermulalah fasa keempat dalam hadith di atas, tikamana Mulkan Jabariyyah (kerajaan dictator) mengambil alih tampuk pimpinan umat Islam.

Runtuhnya institusi khilafah menyebabkan tanah-tanah umat Islam dibahagi-bahagikan kepingan-kepingannya kepada kuasa-kuasa barat yang berkuasa ketika itu. Tanah umat Islam yang terjajah ini menyebabkan ianya diperintah mengkikut acuan barat dan jauh dari Al-Qur’an dan Sunnah. Hasil bumi tanah-tanah umat Islam diratah penjajah dan hasilnya digunakan untuk membangunkan negara mereka. Nasionalisme dan sekularisme menjadi dominan sebagai tata cara kehidupan masyarakata, sementara identiti dan ideologi Islam hanya digunapakai untuk urusan peribadi semata.

Menambah pedih umat ini, walaupun dalam tahun terkebelakang, negara-negara umat Islam berjaya mendapat kemerdekaan dari negara-negara barat, ianya masih ditadbir pimpin dengan acuan barat. Jika ada yang mahu menerapkan sekalipun, ianya hanyalah dari segi istilah dan rupa luaran, tidaklah pada perlaksanaan yang sebenarnya dan tersasar jauh dari maqasidnya. Inilah reality fasa ini, dengan nama lainnya, ‘zaman kegelapan Islam’.

“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)” (Ali-Imran : 140)

Chechnya, Bosnia, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Palestin, Mindanao, Turkeministan Timur, Kemboja, Myammar, Patani, nyatakan mana lagi ? Umat Islam yang diperintah ‘mulkan jabariyyah’ ini gah dari sudut bilangannya tetapi amat memalukan dari sudut kualiti dan kesatuan. Namun janji Allah itu pasti, dan janji siapakah yang lebih baik dari janji Allah ?

”Kemudian adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak Kenabian (Khilafah ‘Ala Minhajin Nubuwwah)”

“Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka.” (An-Nur:55)

Pengakhirannya pasti, namun dimanakah kita memposisikan diri kita ? menyokong, menentang atau bergoyang kaki ? Sungguh!, janganlah anda memposisikan diri anda dalam posisi orang-orang yang rugi dan lari dari tanggungjawab da'wah. Walau dimanapun anda memposisikan diri anda, ketetapan Allah itu pasti!

Usrah everyone ?

1 comments:

Anonymous said...

I'm In!!!