Saturday, December 27, 2008

Ada apa dengan Negara Islam ?

Ada apa dengan Negara Islam ?









"Adakah garis ukur sebuah negara Islam itu hanya terikat dan sempit kepada perlaksanaan hukum hudud semata ?”

Sering jikalau persoalan ini diutarakan, akan timbul suara-suara berbaur emosi, rasionalnya, dan niat baik si penanya terus dibuang ketepi. Inilah aspek yang mengecewakan dari segelintir pendokong Islam masa kini.

Menjadi satu syarat kepada seorang Muslim yang sahih imannya untuk mengakui bahwa Hudud dan Qisas itu wajib dilaksanakan di setiap negara Islam. Perlu kita semua fahami bahwa hak menetapkan undang-undang dan peraturan adalah hak Allah yang paling utama dalam sifat Allah sebagai Illah kepada makhluk. Jadi apabila arahan hudud dan qisas diwartakan melalui surah Al-Baqarah ayat ke 178 dan Al-Ma’idah ayat 45, telah menjadi kekafiran kepada sesiapa yang mengingkarinya.

Penanya kepada soalan ini tidaklah mengingkari akan wajibnya hudud dan qisas itu sebaliknya beliau adalah seorang yang berfikiran luas, tajam dan jauh dengan berfikiran bahawa melaksanakan hukum hudud dan qisas tidak cukup untuk kita mengatakan negara itu adalah negara Islam. Berbalik pada konsep sebuah negara, sesuatu kawasan itu boleh dianggap sebuah negara apabila ianya mempunyai tanah dan sempadan, mempunyai penduduk yang mendiaminya, mempunyai kerajaan yang mentadbirnya dengan undang-undang dan perlembagaan.

Kita penat mengejar supaya undang-undang dan perlembagaan itu berteraskan hudud dan qisas namun lihat sahaja bagaimana realiti penduduknya. Apa guna andai kita berjaya melaksanakan hudud sekalipun jika rakyat di bawahnya masih lagi bergelumang dengan maksiat dan jenayah, ekonominya masih lagi berteraskan riba’ dan manipulasi, mentaliti rakyat masih pada kelas ke-3 dan orang-orang dzimmi yang tidak difahamkan tidak bersetuju ke atas perlaksanaannya ?.

Seolah-olah hudud dan qisas itu adalah segala-galanya dalam membentuk sebuah negara Islam, sedangkan terdapat banyak lagi faktor lain yang perlu diusahakan untuk menggarapnya. Dan apabila sang dzimmi atau jahil membantah, dibalas dengan kata-kata emosi melulu yang langsung tidak mendidik mereka supaya memahami bahawa kesemua syariat Islam itu adalah adil, cantik dan berkesan.

Sekali lagi saya menegaskan pendirian disini, bahawa sangat-sangat dibutuhkan akan syariat hudud dan qisas itu untuk dilaksanakan tetapi ianya bukanlah segala-galanya dalam membentuk sebuah negara Islam bukan juga pra-syarat tunggal dalam menentukan sebuah negara itu Islam atau tidak. Sungguh perhatikan juga realiti masarakat kita bagaimana, adakah seperti masyarakat Madinah dahulu ? Jikalau tidak persiapkan mereka dahulu dengan dakwah dan tarbiyyah!. Mahukah kita menjadi pemimpin Mekkah zaman awal Islam ? Rasulullah s.a.w menolaknya secara bulat-bulat.

Fitrah Islam itu sendiri tidak tertegak dengan majoriti, Lihat sahaja peristiwa-peristiwa sirah seperti perang Badar al-Kubra, perang khandak, perang khaibar, Fathul Makkah, Perang Andalus, Perang Al-Qadisiyyah, Perang menentang Rom dan Parsi, Perang pembukaan Constantinople, kesemuanya bilangan tentera Islam jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan tentera musyrik. Jadi apakah yang menjadi kayu ukur kemenangan Islam itu ?

Pendapat kami adalah keimanan yang teguh dan ketaqwaan yang mantap kepada Allah s.w.t; Pencipta seluruh alam, pemberi rezeki Yang maha esa lagi maha kuasa. Kekuatan itu terletak pada kualiti pendokongnya, bukan kuantitinya sebagaimana firman Rasulullah s.a.w bahwa umatnya diakhir zaman tidaklah sedikit bilangannya namun bagaikan buih diwaktu banjir.

Jadi bagaimana membentuk kualiti ini ?, tidak lain tidak bukan melalui proses tarbiyyah yang tersusun dan berterusan.











0 comments: