Wednesday, September 3, 2008

Ramadhan...untuk Ikhwah dan Akhwat

Ramadhan...Untuk Ikhwah dan Akhwat


Ramadhan menjelma lagi, kali ini ambang Ramadhan disibukkan dengan penganjuran konsert Avril Lavigne dan sambutan kemerdekaan negara yang Alhamdulillah agak sederhana pada tahun ini. Menjelang Ramadhan, pelbagai persiapan dilakukan umat Muhammad untuk menyambutnya, ada yg mempersiapkan ruhi mereka dan tidak kurang yang mempersiapkan fizikal mereka. Namun yang terbaik adalah persiapkanlah keduanya.

Ingin saya membawa pembaca sekalian kearah satu reality masyarakat yang perlu kita selami dan fahami dimana masyarakat dinihari tidak lagi memandang Ramadhan sebagai sesuatu yang besar dan tinggi, dirindui dan dicintai, diimpikan dan disanjungi sebagaimana yang ditunjukkan generasi pertama terdahulu. Ramadhan itu hanyalah bagai 11 bulan-bulan yang lain, tiada keistimewaan langsung padanya. Sesetengah dari mereka pula terlalu sibuk dengan persiapan untuk menyambut Aidilfitri pada bulan Ramadhan sehingga terlupa bahawa pada bulan itulah mereka sepatutnya membajak sehabis-habisnya untuk hasilnya dibawa kehari pembalasan kelak.

Hendaklah difahami bahawa Ramadhan itu bukanlah hanya sekadar berlapar dan dahaga disiang hari dan bertarawikh dimalam hari, ianya jauh lebih besar dari dua perkara tersebut. Mungkin terlalu banyak kelebihan-kelebihan dan fadhilat bulan Ramadhan yang telah diutarakan baik di peti televisyen, di corong-corong radio, dan dilaman-laman web, mungkin tidak perlulah post ini mengulang perkara-perkara tersebut. Maaf ye jika ada yang mengharapkannya.

Dari perspektif Ikhwah dan akhwat pula, Ramadhan sering dijadikan alasan untuk kurang bekerja, berasa lemah dimedan-medan, kurang produktif dan tidak aktif. Hendak focus untuk memantapkan ruhi kata sesetengah mereka. Sehingga usrah mingguan pun kadang-kadang terpaksa dibatalkan dan tidak dihadiri. Kalau diajak mukhayyam apatahlagi.

Menyusuri sejarah umat terdahulu, ternyata mereka bukan begitu, Ramadhan tidak pernah dijadikan alasan untuk mereka kurang bekerja dan berehat-rehat akibat kelaparan. Ramadhan ternyata menjadi pemangkin kepada mereka untuk lebih berusaha memenangkan agama Allah tanpa mengabaikan fadhilat-fadhilat Ramadhan itu sendiri. Justeru, disini dipaparkan beberapa contoh penting dari umat terdahulu untuk kita semua contohi moga-moga dapat memacu kita kearah gerakkerja yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada bulan Ramadhan.

Peperangan Badar

17 Ramadhan Tahun ke-2 Hijrah, berlakunya satu peperangan yang menentukan hidup matinya dakwah Islam di muka bumi ini. Peperangan dimana kaum muslimin menentang kaum kafir Quraisy dari Makkah yang diketuai oleh Abu Jahal.

Peperangan ini adalah peperangan pertama bagi umat Islam yang mana ianya disertai oleh 313 orang sahabat dengan 2 ekor kuda dan 70 ekor unta menentang tentera kafir yang berkekuatan 1000 orang, 100 ekor kuda dan 700 ekor unta. Bayangkan saja ikhwah dan akhwat sekalian bagaimana kaum mukmin yang ketika itu telah diatasi dari jumlah bilangan mereka serta kelengkapan perang mereka bertempur dibawah terik matahari ditengah padang pasir yang kering kontang itu. Walau dengan segala kekurang mereka, mereka tetap berjuang berhabis-habisan untuk menewaskan musuh-musuh Islam itu walau terpaksa bergadai nyawa sekalipun dan tidak pernah ada rasa lemah dan takut diadalam hati mereka walau dalam situasi yang genting sedemikian.

Akhirnya Allah memebrikan kemenangan kepada tentera Muslimin dalam peperangan sulung ini dengan Allah mengirimkan sepasukan malaikat untuk meneguhkan kaum muslimin dalam menghancurkan tentera kafir.

12. (ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (Al-Anfal : 12 )

123. Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

124. (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Engkau berkata kepada orang-orang Yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, Bahawa Allah membantu kamu Dengan tiga ribu tentera dari malaikat Yang diturunkan?," (Ali-Imran : 123 – 124)

Sebilangan 27 tentera musyrikin terbunuh dalam peperangan tersebut, pengajaran penting dalam peperangan ini adalah kekuatan keimanan umat Islam merupakan tonggak utama dalam menentukan menang kalah sebuah perjuangan itu bukanlah aspek bilangan dan kekuatan semata.

Pembukaan Kota Makkah dan pemusnahan patung-patung berhala


Tikamana umat Islam sedang sibuk bertempur dengan tentera Byzantine di bahagian utara, perjanjian Hudaibiyyah telah dikhianati oleh orang-orang kafir Makkah. Ini mendorong Rasulullah untuk bertindak dengan mengarahkan orang-orang Islam melakukan serangan secara besar-besaran untuk menakluk kota Makkah walaupun dalam kondisi menghadapi tentera Byzantine di utara dan umat Islam yang sedang berpuasa.

Tanggal 21 Ramadhan, walaupun dalam keadaan berpuasa, umat Islam akhirnya berhasil menakluk kota Makkah dengan keadaan aman dan damai, walaupun dahulu sesetengah sahabat disiksa dengan hebatnya ketika mereka masih di Makkah, mereka ternyata tidak bertindak membalasa dendam ke atas mereka-mereka yang melakukannya dahulu.

Kalimah tauhid akhirnya berkumandang di ruang angkasa Makkah menggantikan kepercayaan karut jahiliyyah,segala berhala disekitar Makkah dihancurkan tanpa meniggalkan satu sisa pun. Khaled Al-Waled seterusnya diutuskan ke pusat kekufuran untuk menghancurkan al-Lat, al-Mamat, As-Suwa dan beberapa berhala besar lain.

Penaklukan Andalusia (Sepanyol)

Ramadhan tahun ke 92 hijrah menyaksikan segerombolan tentera pimpinan Tariq bin Ziyad menyeberangi selat Gibraltar untuk dalam usaha mengembangkan dakwah Islam ke Eropah. Tibanya mereka di pantai, Beliau bertindak berdiri di atas bukit Karang dan berpidato. Dengan penuh semangat dan berapi-api, beliau memerintahkan seluruh kapal yang membawa tentera-tentera Islam untuk dibakar kecuali beberapa kapal kecil yang diatahkan untuk pulang meminta bantuan khalifah di utara Afrika.

Kita disini tidak untuk pulang, kita hanya punya dua pilihan, menakluk negeri ini, menetap disini dan mengembangkan Islam atau kita semua binasa (syahid)

100,000 tentera dibawah pimpinan Raja Rhoderick yang terkenal dengan kekuatannya di seluruh Eropah terpaksa bertahan berhabis-habisan untuk melawan gempuran tentera Muslimin yang bilangannya hanya 7,000 orang sahaja yang tika itu dalam keadaan berpuasa!. Dengan pertolongan Allah, sebilangan 5,000 tentera susulan dihantar khalifah dan akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.

Kemengan Salahuddin Al-Ayyubi keatas tentera Salib Eropah

Bulan Ramadhan tahun 584 hijrah menyaksikan kemenangan besar-besaran tentera Muslim dibawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi ke atas tentera salibi Eropah. Tentera Salib yang ketika itu di bawah pimpinan King Richard the Lion Heart telah tumpas dibanyak medan pertempuran dan Syria akhirnya jatuh ketangan umat Islam dan keseluruhan tanah jajahan Syria jatuh ketangan umat Islam pada bulan Ramadhan.

Kemuncak dari pertempuran ini adalah umat Islam berjaya menawan kembali kiblat pertama mereka iaitulah Baitulmaqdis setelah mengalami petempuran yang maha hebat sebelumnya.

Kejayaan Menentang Tentera Monggol

Abad ketujuh Hijrah menyaksikan kebangkitan satu puak barbarik dari timur asia yang menghancurkan dan menghapuskan apa sahaja yang merintangi jalan mereka. Tembok besar cina sekalipun tidak mampu mematahkan kemaraan mereka. Genghis Khan yang menggelarkan dirinya "Cemeti Tuhan yang dikirimkan untuk menghukum mereka yang berdosa." Telah berjaya menumpaskan kerajaan-kerajaan Islam di Samarkand, Ray dan Hamdan. 70,000 nyawa terkorban dalam misi Genghis Khan ini.

656 Hijrah, cucu kepada Genghis Khan; Hulagu Khan meneruskan kempen datuknya, beliau berjaya menumbangkan pusat pemerintahan Islam ketika itu iaitulah Baghdad. Diceritakan sekitar1.8 juta umat Islam telah terbunuh dalam kempen menakluk Baghdad. Azan tidak dibenarkan untuk dilaungkan dan umat Islam dan Kristian di Baghdad diperlakukan seperti haiwan.

Penaklukan Baghdad tidak menghentikan misi Hulagu Khan ini, mereka maju menuju ke sisa-sisa tanah umat Islam ketika itu. Akhirnya, dalam pertempuran di Ain Jalut, Saifuddin Qutz telah berjaya enyatukan umat Islam ketika itu untuk menghadapi serangan tentera Monggol. Pertempuran yang berlaku pada 26 Ramadhan ini tidak menampakkan kemenagan akan berpihak pada pihak Islam, namun kemenagan dan kekalahan itu adalah hak milik Allah, akhirnya dalam keadaan tertekan dan berpuasa, umat Islam ketika itu berjya mematahkan serangan tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu ini, seluruh dunia merasa terkejut dan takjub di atas kemenangan umat Islam tersebut.

Cerminan Untuk Ikhwah dan Akhwat

Nah, tidak cukup lagikah contoh-contoh yang diutarakan diatas ? Bagaimana generasi terdahulu begitu mantap dan aktif ketika bulan Ramadhan. Begitu banyak kemenangan yang diberikan Allah kepada umat Islam pada bulan Ramadhan dengan syarat mereka sanggup berkorban demi kemenangan itu.

Hari ini lihat sahaja bagaimana keadaan umat Islam diserata dunia, di Palestin, di Iraq, di Afghanistan, di Kashmir, di Chechnya, di Selatan Thailand, di Selatan Filipina, di Turki.....ternyata realiti umat kini sangat muram dan malap, di tambah pula dengan kurangnya usaha menyelamatkannya.

Jadi tanggungjawab itu ditangan siapa ? Di bulan Ramadhan yang mulia ini, berusahalah kita dengan kemampuan kita dan dengan pemahaman kita. Janganlah Ramadhan itu dijadikan alasan untuk kurang bekerja, namun pergunakanlah ianya agar dakwah kita lebih mantap dan berjaya.

Moga-moga Allah memberika kita keberhasilan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini. ”setiap masalah itu bermula dengan lemahnya cita2”- Muhammad Iqbal


Selamat menyambut Ramadhan buat semua pembaca, moga-moga dikurniakan barakah dan kebaikan oleh Allah s.w.t. Manfaatkanlah Ramadhan sebaiknya semoga kita termasuk dari orang-orang yang beruntung yang dikurniakan nikmatNya

2 comments:

Anonymous said...

ni blog syazwe ruponyo...

Raihan Mahmood said...

ya.. moga ramadhan kali memberi makne buat kita.. ramadhan yg sama, tp natijah yg berbeza.
salam ramadhan