Thursday, September 25, 2008
Satu Cerita di Satu Daerah Terpencil….. Satu Suasana di “Serambi Mekkah”........
Satu Cerita di Satu Daerah Terpencil…..
Satu Suasana di “Serambi Mekkah”........
Kesibukan dengan program-program tarbiyyah dan Internship program tidak mengizinkan aku untuk melawat keluarga di Kelantan sana, datuk, nenek dan sepupuku. Sudah lama tidak dijenguk kampong halaman di Kelantan, rindu dihati memang menebal, tambahan lagi dengan kondisi datuk yang sakit. Hendak juga berbakti sehari dua.
Kesempatan kali ini tidak disiasiakan walaupun terpaksa meninggalkan beberapa tanggungjawab penting kepada rakan laen. Menyusuri bendang-bendang sawah menghijau dan alam semulajadi yang masih belum dicabul memang mengindahkan dan menyejukkan pandangan mata, kalaulah warga-warga kota sampai kesini pasti cemburu gila gila mereka.
Datukku yang dahulunya seorang imam di masjid kampungku terpaksa menyerahkan jawatannya kepada orang laen memandangkan keadaan dirinya yang tidak mengizinkan, berhentinya datukku dari jawatan imam di masjid itu menyebabkan masjid kian kosong…..kerana apa ? Disini pokok pangkal cerita bermula
Menyorot kembali sejarah politik Malaysia tahun 1998, tikamana Anwar Ibrahim dilucutkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri atas tuduhan liwat dan rasuah menyebabkan kegilaan kepada suasana politik Malaysia, NGO-NGO dan parti-parti politik yang dahulunya tidak pernah bersatu kini mampu bersatu di atas satu platform yang sama untuk satu tujuan. Begitu jugalah yang berlaku di daerah terpencil ini, kerancakan politik ketika itu menyebabkan munculnya dua golongan yang amat radikal memperjuangkan kepercayaan mereka, mereka yang pro-kerajaan dan mereka yang pro-pembangkang.
Kegilaan ini menyebabkan setiap isu dipolitikkan baik dari pembahagian baja, pemilihan ketua kampong sehinggalah ceramah-ceramah di masjid..Suasana ini cukup untuk menimbulkan satu suasana tegang dikalangan penduduk kampong yang rata-ratanya bekerja sebagai petani ini. Warung-warung kopi memang hangat dan panas dengan cerita-cerita politik, bidas membidas, hujah-hujah tajam, gossip-gosip dan kadangkala menimbulkan pertengkaran lidah.
Suasana yang cukup sengit sebegini akhirnya turut melemparkan efeknya kepada masjid kampong itu sendiri. AJK masjid yang rata-ratanya ahli PAS telah bertindak menyusun ceramah-ceramah di masjid dengan penceramah-penceramah dari parti pembangkang, dan tajuknya kadang-kadang memang politik dan tajam bagi pihak pro-kerajaan. Reaksi dari perkara ini adalah tertubuhnya masjid kedua dikampung nan-terpencil ini yang dicat biru pada dindingnya.
Namun sesetengah penyokong-penyokong kerajaan ini masih lagi boleh berkompromi untuk bersatu diatas satu masjid dek kerana imamnya, Yaacob bin Mat Seh, merangkap datukku yang terchinta yang menyembunyikan pendirian politik pro-pembangkangnya untuk kesatupaduan penduduk kampong. Justeru kelibat pak cik – pak cik dan mak cik mak cik BN masih lagi boleh dilihat di masjid itu kecuali pada hari yang dihadiri penceramah Pas. Program-program yang dianjurkan seperti maulid nabi, berbuka puasa dan tadarrus masih lagi menyaksikan kelibat mereka-mereka yang pro-kerajaan ini.
Situasi politik 1998 berlarutan sehingga ke hari ini, tidak ku tahu kenape tiada penyelesaiannya sehingga untuk bersatu diatas satu masjid pun mereka tidak mampu.
Hari ini, 1 September 2008, imam masjid ini bukan lagi datukku, justeru, kelibat kemasjid kembali berkurangan dek kerana mereka-mereka yang tidak bersetuju dengan perlantikan imam baru yang jelas pendirian politik pro-pembangkangnya….dikatakan juga beliau mengibarkan bendera Pas bersaiz XXL dirumahnya. Aduh apalah nasib masjid kampungku ini, dahla yang hadir pun yang dah tiada gigi dan tua bangka tunggu nak mati, kini sebahagian mereka-mereka ini pula turut meminggirkan masjid ini Penyelesaiannya ? aku pun pening memikirkannya……
Bercakap pasal Kelantan, teringat dua tahun lalu ketika nenekku meminta aku membawanya ke ceramah mingguan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di tengah-tengah Bandar Kota Bharu, memang menjadi rutin tok guru Nik Aziz untuk menyampaikan ceramah agama pada setiap pagi Jumaat di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Aura Nik Aziz memang kuat, dan ternyata belaiu teramat disayangi penduduk Kelantan, manakan tidak, setiap minggu rakyat berpusu-pusu untuk mendengar ceramahnya sehinggakan sesak seluruh Bandar Kota Bharu. Memang sesak!, kalau tidak datang selesai solat Subuh jangan harap untuk dapat parking di sekitar bandar, berjalan 1-2 kilometer la jawabnya.
Apa yang menarik untuk dibincangkan disini adalah kurangnya kelibat orang-orang muda diceramah mingguan ini, mungkin pada masa ini kebanyakan dari mereka masih enak dibuai mimpi, entah Subuh ke belum mereka-mereka itu. Majoriti mereka yang menghadiri ceramah ini adalah mereka-mereka yang telah berusia, bertongkat, bergigi palsu, bercermin mata kerana rabun, dan berbagai-bagai lagi ragam.
Lantas timbul ketakjuban di fikiran memikirkan atuk-atuk ini sanggup menaiki bas walau dalam keadaan bertungkat hanya untuk menghadiri ceramah ini, nenek-nenek yang menyewa teksi datang dari jauh hanya untuk mendapatkan sepotong ilmu, warga emas yang telah pun bongkok memaksa diri mereka berjalan jauh untuk mendengar pengisian rohani…..mereka semua sudah menghampiri mati!
Dan dimana jasad-jasad muda yang masih segar bugar ? mengapa tidak disambut hangat program-program sebegini sedangkan mereka mampu memandu, menunggang motosikal dan tidaklah menjadi masalah untuk mereka menaiki bas ketempat sebegini....dimana kelibat mereka ¿ kemana perginya semangat-semangat mereka ¿ mengapa mereka tidak berminat untuk perkara sebagini ¿
Andaikata disitu dianjurkan satu konsert, cukup jika dipanggil band Hujan, nescaya saya percaya sesaklah bandar Kota Bharu itu, tetapi bukan dengan warga tua, tapi dengan generasi muda yang masih ranggi dan segar bugar.....
Dua cerita yang berbeza, satu situasi sama...tiadanya pemuda!. Gesaan untuk ikhwah dan akhwat untuk meningkatkan usaha kita, kita tidak selaju jahiliyyah! Ayuh kita gerak bersama =)
Wednesday, September 3, 2008
Ramadhan...untuk Ikhwah dan Akhwat
Ramadhan...Untuk Ikhwah dan Akhwat
Ramadhan menjelma lagi, kali ini ambang Ramadhan disibukkan dengan penganjuran konsert Avril Lavigne dan sambutan kemerdekaan negara yang Alhamdulillah agak sederhana pada tahun ini. Menjelang Ramadhan, pelbagai persiapan dilakukan umat Muhammad untuk menyambutnya, ada yg mempersiapkan ruhi mereka dan tidak kurang yang mempersiapkan fizikal mereka. Namun yang terbaik adalah persiapkanlah keduanya.
Ingin saya membawa pembaca sekalian kearah satu reality masyarakat yang perlu kita selami dan fahami dimana masyarakat dinihari tidak lagi memandang Ramadhan sebagai sesuatu yang besar dan tinggi, dirindui dan dicintai, diimpikan dan disanjungi sebagaimana yang ditunjukkan generasi pertama terdahulu. Ramadhan itu hanyalah bagai 11 bulan-bulan yang lain, tiada keistimewaan langsung padanya. Sesetengah dari mereka pula terlalu sibuk dengan persiapan untuk menyambut Aidilfitri pada bulan Ramadhan sehingga terlupa bahawa pada bulan itulah mereka sepatutnya membajak sehabis-habisnya untuk hasilnya dibawa kehari pembalasan kelak.
Hendaklah difahami bahawa Ramadhan itu bukanlah hanya sekadar berlapar dan dahaga disiang hari dan bertarawikh dimalam hari, ianya jauh lebih besar dari dua perkara tersebut. Mungkin terlalu banyak kelebihan-kelebihan dan fadhilat bulan Ramadhan yang telah diutarakan baik di peti televisyen, di corong-corong radio, dan dilaman-laman web, mungkin tidak perlulah post ini mengulang perkara-perkara tersebut. Maaf ye jika ada yang mengharapkannya.
Dari perspektif Ikhwah dan akhwat pula, Ramadhan sering dijadikan alasan untuk kurang bekerja, berasa lemah dimedan-medan, kurang produktif dan tidak aktif. Hendak focus untuk memantapkan ruhi kata sesetengah mereka. Sehingga usrah mingguan pun kadang-kadang terpaksa dibatalkan dan tidak dihadiri. Kalau diajak mukhayyam apatahlagi.
Menyusuri sejarah umat terdahulu, ternyata mereka bukan begitu, Ramadhan tidak pernah dijadikan alasan untuk mereka kurang bekerja dan berehat-rehat akibat kelaparan. Ramadhan ternyata menjadi pemangkin kepada mereka untuk lebih berusaha memenangkan agama Allah tanpa mengabaikan fadhilat-fadhilat Ramadhan itu sendiri. Justeru, disini dipaparkan beberapa contoh penting dari umat terdahulu untuk kita semua contohi moga-moga dapat memacu kita kearah gerakkerja yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada bulan Ramadhan.
Peperangan Badar
17 Ramadhan Tahun ke-2 Hijrah, berlakunya satu peperangan yang menentukan hidup matinya dakwah Islam di muka bumi ini. Peperangan dimana kaum muslimin menentang kaum kafir Quraisy dari Makkah yang diketuai oleh Abu Jahal.
Peperangan ini adalah peperangan pertama bagi umat Islam yang mana ianya disertai oleh 313 orang sahabat dengan 2 ekor kuda dan 70 ekor unta menentang tentera kafir yang berkekuatan 1000 orang, 100 ekor kuda dan 700 ekor unta. Bayangkan saja ikhwah dan akhwat sekalian bagaimana kaum mukmin yang ketika itu telah diatasi dari jumlah bilangan mereka serta kelengkapan perang mereka bertempur dibawah terik matahari ditengah
Akhirnya Allah memebrikan kemenangan kepada tentera Muslimin dalam peperangan sulung ini dengan Allah mengirimkan sepasukan malaikat untuk meneguhkan kaum muslimin dalam menghancurkan tentera kafir.
12. (ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (Al-Anfal : 12 )
123. Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
124. (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Engkau berkata kepada orang-orang Yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, Bahawa Allah membantu kamu Dengan tiga ribu tentera dari malaikat Yang diturunkan?," (Ali-Imran : 123 – 124)
Sebilangan 27 tentera musyrikin terbunuh dalam peperangan tersebut, pengajaran penting dalam peperangan ini adalah kekuatan keimanan umat Islam merupakan tonggak utama dalam menentukan menang kalah sebuah perjuangan itu bukanlah aspek bilangan dan kekuatan semata.
Pembukaan Kota Makkah dan pemusnahan patung-patung berhala
Tikamana umat Islam sedang sibuk bertempur dengan tentera Byzantine di bahagian utara, perjanjian Hudaibiyyah telah dikhianati oleh orang-orang kafir Makkah. Ini mendorong Rasulullah untuk bertindak dengan mengarahkan orang-orang Islam melakukan serangan secara besar-besaran untuk menakluk kota Makkah walaupun dalam kondisi menghadapi tentera Byzantine di utara dan umat Islam yang sedang berpuasa.
Tanggal 21 Ramadhan, walaupun dalam keadaan berpuasa, umat Islam akhirnya berhasil menakluk kota Makkah dengan keadaan aman dan damai, walaupun dahulu sesetengah sahabat disiksa dengan hebatnya ketika mereka masih di Makkah, mereka ternyata tidak bertindak membalasa dendam ke atas mereka-mereka yang melakukannya dahulu.
Kalimah tauhid akhirnya berkumandang di ruang angkasa Makkah menggantikan kepercayaan karut jahiliyyah,segala berhala disekitar Makkah dihancurkan tanpa meniggalkan satu sisa pun. Khaled Al-Waled seterusnya diutuskan ke pusat kekufuran untuk menghancurkan al-Lat, al-Mamat, As-Suwa dan beberapa berhala besar lain.
Penaklukan Andalusia (Sepanyol)
Ramadhan tahun ke 92 hijrah menyaksikan segerombolan tentera pimpinan Tariq bin Ziyad menyeberangi selat Gibraltar untuk dalam usaha mengembangkan dakwah Islam ke Eropah. Tibanya mereka di pantai, Beliau bertindak berdiri di atas bukit Karang dan berpidato. Dengan penuh semangat dan berapi-api, beliau memerintahkan seluruh kapal yang membawa tentera-tentera Islam untuk dibakar kecuali beberapa kapal kecil yang diatahkan untuk pulang meminta bantuan khalifah di utara Afrika.
Kita disini tidak untuk pulang, kita hanya punya dua pilihan, menakluk negeri ini, menetap disini dan mengembangkan Islam atau kita semua binasa (syahid)
100,000 tentera dibawah pimpinan Raja Rhoderick yang terkenal dengan kekuatannya di seluruh Eropah terpaksa bertahan berhabis-habisan untuk melawan gempuran tentera Muslimin yang bilangannya hanya 7,000 orang sahaja yang tika itu dalam keadaan berpuasa!. Dengan pertolongan Allah, sebilangan 5,000 tentera susulan dihantar khalifah dan akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
Kemengan Salahuddin Al-Ayyubi keatas tentera Salib Eropah
Bulan Ramadhan tahun 584 hijrah menyaksikan kemenangan besar-besaran tentera Muslim dibawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi ke atas tentera salibi Eropah. Tentera Salib yang ketika itu di bawah pimpinan King Richard the Lion Heart telah tumpas dibanyak medan pertempuran dan Syria akhirnya jatuh ketangan umat Islam dan keseluruhan tanah jajahan Syria jatuh ketangan umat Islam pada bulan Ramadhan.
Kemuncak dari pertempuran ini adalah umat Islam berjaya menawan kembali kiblat pertama mereka iaitulah Baitulmaqdis setelah mengalami petempuran yang maha hebat sebelumnya.
Kejayaan Menentang Tentera Monggol
Abad ketujuh Hijrah menyaksikan kebangkitan satu puak barbarik dari timur asia yang menghancurkan dan menghapuskan apa sahaja yang merintangi jalan mereka. Tembok besar cina sekalipun tidak mampu mematahkan kemaraan mereka. Genghis Khan yang menggelarkan dirinya "Cemeti Tuhan yang dikirimkan untuk menghukum mereka yang berdosa." Telah berjaya menumpaskan kerajaan-kerajaan Islam di Samarkand, Ray dan Hamdan. 70,000 nyawa terkorban dalam misi Genghis Khan ini.
656 Hijrah, cucu kepada Genghis Khan; Hulagu Khan meneruskan kempen datuknya, beliau berjaya menumbangkan pusat pemerintahan Islam ketika itu iaitulah Baghdad. Diceritakan sekitar1.8 juta umat Islam telah terbunuh dalam kempen menakluk Baghdad. Azan tidak dibenarkan untuk dilaungkan dan umat Islam dan Kristian di Baghdad diperlakukan seperti haiwan.
Penaklukan Baghdad tidak menghentikan misi Hulagu Khan ini, mereka maju menuju ke sisa-sisa tanah umat Islam ketika itu. Akhirnya, dalam pertempuran di Ain Jalut, Saifuddin Qutz telah berjaya enyatukan umat Islam ketika itu untuk menghadapi serangan tentera Monggol. Pertempuran yang berlaku pada 26 Ramadhan ini tidak menampakkan kemenagan akan berpihak pada pihak Islam, namun kemenagan dan kekalahan itu adalah hak milik Allah, akhirnya dalam keadaan tertekan dan berpuasa, umat Islam ketika itu berjya mematahkan serangan tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu ini, seluruh dunia merasa terkejut dan takjub di atas kemenangan umat Islam tersebut.
Cerminan Untuk Ikhwah dan Akhwat
Nah, tidak cukup lagikah contoh-contoh yang diutarakan diatas ? Bagaimana generasi terdahulu begitu mantap dan aktif ketika bulan Ramadhan. Begitu banyak kemenangan yang diberikan Allah kepada umat Islam pada bulan Ramadhan dengan syarat mereka sanggup berkorban demi kemenangan itu.
Hari ini lihat sahaja bagaimana keadaan umat Islam diserata dunia, di Palestin, di Iraq, di Afghanistan, di Kashmir, di Chechnya, di Selatan Thailand, di Selatan Filipina, di Turki.....ternyata realiti umat kini sangat muram dan malap, di tambah pula dengan kurangnya usaha menyelamatkannya.
Jadi tanggungjawab itu ditangan siapa ? Di bulan Ramadhan yang mulia ini, berusahalah kita dengan kemampuan kita dan dengan pemahaman kita. Janganlah Ramadhan itu dijadikan alasan untuk kurang bekerja, namun pergunakanlah ianya agar dakwah kita lebih mantap dan berjaya.
Moga-moga Allah memberika kita keberhasilan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini. ”setiap masalah itu bermula dengan lemahnya cita2”- Muhammad Iqbal