Tuesday, May 5, 2009

ISLAM : Hero yang dinantikan dunia

ISLAM : Hero yang dinantikan dunia





Dalam mendirikan setiap sesuatu perkara, pastilah ada asas permulaan yang membinanya yang kemudiannya, jika diasuh rapi, dijaga teliti, kena caranya, akan berkembang menjadi sesuatu yang membuahkan hasil dan bermanfaat. Sepertimana sperma dan ovum yang bertemu di dalam pangkal rahim yang diasuh sempurna Allah s.w.t yang Maha Kuasa sehingga akhirnya berhasil si ibu melahirkan seorang bayi yang sempurna. Atau mungkin seperti sebuah biji benih yang menumbuhkan sebuah pokok yang bermanfaat kepada seluruh alam sekiranya cukup air, cahaya, baja dan karbon dioksidanya.

Begitulah sunnatullah alam, telah ditetapkan Allah s.w.t dari awal penciptaan alam ini lagi, tidak berubah, tetap, dan berterusan dengan izin Allah s.w.t. Segala-galanya bermula kecil, kemudian membesar dan akhirnya bertemu ajalnya. Tiada apa yang kekal di dunia ini selain Allah.s.w.t. Firman Allah dalam surah Al-Fath ayat 23 berbunyi "Sunnatullah (peraturan Allah) Yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan Engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.”.

Begitu jugalah teorinya dalam jatuh bangun sesebuah tamadun, ianya bermula kecil-kecilan, kemudian berkembang besar menguasai sebuah negara, kemudiannya berjaya menakluk dan menaungi beberapa buah negara dan setelah konflik di beberapa ketika, tibalah masa ianya stabil dan mengukuh. Namun, betapa hebat sesebuah tamadun sekalipun, ianya pasti akan tumbang sepertimana sunnatullah yang telah ditetapkan, ianya akan mengalami fasa kejatuhan dan akhirnya runtuh.

Lihat sahaja tamadun Rom dan Parsi yang begitu gah pada zamannya, dengan kemajuan ketenteraannya yang jauh menjangkau dunia luar dan keluasan empayarnya ,akhirnya rebah di tangan “orang-orang dari tanah tandus” yang di pimpin seorang nabi yang “ummi”. Juga kita lihat bagaimana Abasiyyah yang begitu maju dalam ilmu sains dan berjaya menguasai 2/3 jumlah populasi dunia ketika itu, sehingga khalifah berkata “oh awan, pergilah engkau kemana jua, nescaya hasilnya akan kembali kepadaku”. Akhirnya jatuh rebah di tangan Mongol yang “nomad” dan tiada sains. Juga kita lihat empayar Portugis pada satu masa yang dikatakan pernah menguasai seluruh pelabuhan penting di seluruh dunia dari Barat Eropah sehinggalah ke Tanjung Pengharapan, Goa dan Melaka kininya dimana mereka ? Mujurlah ada “Christiano Ronaldo” maka dunia masih mengingati mereka. Lebih teruk, empayar British yang mana pernah tersohor dengan jolokan “the sun will never set at Brtitish Empire” kininya hanya kurang 1 per 10 dari keluasan tanah jajahan asalnya. Tidak dapat lari juga Uthmaniyyah yang dahulunya menaungi dunia Islam dari Afrika sehingga timur jauh akhirnya tersungkur rebah di tangan seorang “pengkhianat”. Dan terbaru empayar Soviet yang muncul sebagai negara terbesar dunia dan mempelopori sains, politik dan ketenteraan dunia akhirnya runtuh jua tanpa sempat meraikan jubli perak sekalipun.



(Al-Isra’:77) : (Demikianlah) peraturan (Kami Yang tetap mengenai) orang-orang Yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul kami; dan Engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami Yang tetap itu.

Begitulah sunnatullah yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Tiada apa yang kekal selamanya, walau sekuat manapun, walau sekaya manapun, walau sebesar manapun. Akhirnya mereka semua terikat dengan apa yang telah ditetapkan Allah yang menguasai sekalian alam. Begitu jugalah peradaban barat sekarang yang diterajui Amerika Syarikat, ianya tidak akan kekal dan akhirnya akan runtuh juga. Bibit-bibit keruntuhannya sudah dapat kita saksikan sekarang. Dunia mula perlahan-lahan sedar akan siapakah sebenarnya “Uncle Sam” ini dan ketidakadilan serta kekejaman mereka. Sistem ekonomi capitalist yang diamalkan sekarang mula menampakkan wajah sebenarnya dengan krisis ekonomi 10 tahun sekali dan jurang miskin-kaya yang semakin membesar manakala system demokrasi model amerika ini mula menampakkan “flaw”nya. Dunia semakin gila, kacau bilau dan hilang arah tujunya; kemanusiaan setaraf dengan kebinatangan! Apabila manusia hanya hidup untuk seks, harta dan kemegahan
.



Inilah buah-buah busuk-beracun hasil dari pokok material yang terhasil dari benih secular. Benih penolakan agama zaman pra-enligthment kemuncak kebodohan paderi-paderi mengubahsuai agama yang dibawa Isa Ibnu Maryam, kemuncak kemarahan rakyat marhaen pada ketidakadilan raja dan kawalan ketat gereja. Sehingga akhirnya bergema “Gantung Leher Raja dengan Tali Usus Paderi”. Yang episode berikutnya menyaksikan Nietchzhe melaungkan “Tuhan sudah mati” dan beberapa tahun terkebelakang Richard Dawkin melaungkan “God is delusion”.

Benar mereka maju, sangat maju, dari orang-orang yang tidak mandi dan tidak mempunyai teknologi mereka mengorak langkah menolak agama dan akhirnya mereka berjaya terbang ke angkasa. Benih penolakan agama ini kemudiannya berkembang mewujudkan akar “materialist” yang lahir dari tiadanya tujuan hidup yang jelas pada diri mereka. Lihat sahaja pemikiran Machiavelli, Hobbes dan Marx yang dianggap dewa oleh mereka. Dari luarnya nampak berbeda tapi jika dikaji akarnya tetap sama “Material sebagai tuhan dan sembahan”, yang akhirnya manusia tidak ubah seperti haiwan-haiwan ternakan, hidupnya hanya untuk kenikmatan rumput, seks dan tidur.

Jauh sungguh terperusuknya kemanusiaan dari tujuan asalnya, sehingga akhirnya dari akar “material” ini lahirlah isme-isme bodoh yang tidak lain hanya mengketerbelakangkan umat manusia secara batinnya. Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme, Facism, Nazisme, Nationalism dan beribu lagi isme-isme tolol yang lahir dari akar “material ini. Manusia telah menghabiskan masa mereka dengan sesuatu yang tidak perlu mereka fikirkan. Sedangkan Allah sebagai arkitek dan pembangun alam ini telahpun memberikan manusia manual untuk mengendalikan alam ini sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi.


Akhirnya, kebodohan system-sistem ini tidak dapat dibendung lagi, lihat sahaja bagaimana demokrasi ala Amerika-British-Perancis ini hanya melahirkan manusia-manusia gila kuasa dan amalan rasuah yang berleluasa. Lihat sahaja bagaimana Kapitalisme memperhambakan manusia sesama manusia, menjadikan yang kaya lebih kaya yang miskin bertambah miskin. Lihat sahaja bagaimana Komunisme telah menjadikan manusia sebagai hamba kepada negara. Akhrinya system ini runtuh satu persatu, keruntuhannya tidak lagi dapat dibendung , kerana itulah Sunnatullah yang telah ditetapkan Allah yang Maha Kuasa.

Sudah tiba masanya untuk Islam bangkit kembali menerajui segala perkara di dalam dunia dan memenangi hati masyarakat dunia dari sistem moral sehinggalah pentadbiran dan system ekonomi sesebuh negara. Tidak diturunkan Islam hanya untuk menyuluh roh individu-individu sebaliknya kesyumulan Islam itu merangkumi kedua-dua aspek roh dan jasad secara kolektif. Marilah kita letakkan Islam sesuai dengan fungsinya semula, menyelamatkan kemanusiaan, mensejahterakan alam, sesuai dengan fungsinya sebagai “Rahmatan Iil Alamin”. Namun, cita-cita ini tidak mungkin akan tercapai secara automatic, ianya memerlukan tangan-tangan manusia untuk medirikannya semula. Ayuh! Kita mulakan dengan menaburkan benih-benih aqidah pada masyarakat di sekililing kita. Kebangkitan Islam pastikan tiba!.

"If any religion had the chance of ruling over England, nay Europe within the next hundred years, it could be Islam." - George Bernard Shaw

An-Nur: 55 “Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka.”









Rokok: Titik Pertemuan Islamist dan Sekularist

Rokok: Titik Pertemuan Islamist dan Sekularist


Sangat jarang terdapat perkara yang diperangi habis-habisan para sekularist dan para agamawan. Kedua-dua golongan ini senantiasa berbeda pendapat pada banyak perkara, dek kerana perbezaan pokok pemikiran pada dua golongan ini; golongan secular dengan asas pemikiran matearilis dan realist mereka, manakala golongan agama dengan asas pemikirian rabbaniyyah mereka. Namun yang pastinya, mereka bersetuju tentang satu perkara, bahwa rokok itu sangat berbahaya kepada umat manusia dan perlu diperangi ke akar umbinya.

Di seluruh dunia, pelbagai usaha untuk memerangi rokok giat dilakukan. Larangan untuk merokok telah bergema baik secara langsung atau tidak langsung. Di Malaysia, Vietnam, India dan Britain umumnya, pengharaman merokok di tempat awam telah dilaksanakan. Tempat-tempat seperti pusat membeli-belah, pusat rekreasi, premis berhawa dingin, sekolah-sekolah dan premis-premis kesihatan telah diisytiharkan sebagai zon larangan merokok. Kod amalan penerbangan antarabangsa pula, jika dahulunya membenarkan amalan merokok di belakang pesawat kininya mengharamkan terus pengambilan bahan tersebut didalam pesawat seluruh dunia.

Di seluruh dunia juga, kerajaan mengambil langkah serampang dua mata untuk membasmi amalan merokok ini. Dalam usaha mereka menangani masalah ketagihan rokok ini, untung juga dikaut dengan menaikkan cukai terhadap syarikat-syarikat pengeluar rokok ini, dengan harapan bahawa bilangan perokok akan berkurangan akibat harga rokok yang tinggi. Perang terhadap rokok juga dilakukan dengan arahan untuk meletakkan amaran akan bahaya rokok di kotak-kotak rokok yang dijual. Jika di timur tengah, kalimahnya adalah “at-Tadkhin yadhurrush”, jika di negara barat pula, “Smoking is Dangerous for Health”, manakala di Indonesia, “pula Merokok dapat menyebabkan kanker, serangan jantung, inpotensi, dan gangguan kehamilan dan janin."

Tidak cukup dengan metod-metod tersebut, arahan untuk memaparkan gambar-gambar kesan amalan merokok terhadap perokok juga telah dilaksanakan. Di Malaysia, Indonesia dan Thailand amnya, gambar-gambar seperti janin yang gugur, kanser paru-paru, barah salur pernafasan dan penyakit gangren telah menjadi pemandangan wajib bagi perokok di saat pertama mereka membelinya. Syarikat-syarikat rokok juga telah diharamkan untuk mempromosikan produk-produk mereka secara umum, baik melalui papan iklan, iklan televisyen, mahupun iklan di radio.

Kemuncak kepada segala-galanya adalah, World Health Organization (WHO) telah menetapkan 31 Mei setiap tahun sebagai hari tanpa asap rokok. Hari yang ditetapkan bagi seluruh dunia menunjukkan solidariti mereka akan bahaya amalam merokok.

Satu fakta yang perlu disedari oleh para perokok di seluruh dunia adalah, kajian Harvard School of Public Health menunjukkan bahawa 64% kematian para perokok adalah disebabkan rokok sementara 87% kematian akibat kanser paru-paru datang dari golongan perokok. Perokok juga memiliki risiko 70% untuk menghidap penyakit berjangkit yang terkait dengan jantung dan pembuluh darah. Rokok juga adalah asbab kepada pelbagai penyakit lain antaranya kemandulan, kanser usus, asma, leukemia, diebetes, kanser mulut, kanser pangkal pernafasan, esofagus, pankreas, usus kecil, ginjal, leher rahim, dan stroke. Selain itu, rokok juga menyebabkan nafas berbau, kekuningan pada gigi dan masalah sistem pembuangan. Wanita yang merokok juga mempunyai kemungkinan 74% untuk menghidap kanser payudara.

Bayangkan, di dalam sebatang rokok, terdapat lebih 4000 bahan kimia yang berbahaya didalamnya!. Mungkin sesetengah perokok akan mengatakan ianya karut, tetapi inilah hakikat keputusan kajian beberapa buah universiti terkemuka di seluruh dunia. Asap rokok mengandung racun tar yang mengandung 43 bahan kimia yang menjadi penyebab utama kanser antaranya Nikotin dan Karbon Dioksida yang merupakan gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Asap rokok juga mengandung zat beracun, seperti acetone (bahan cat) ammonia (pencuci lantai), racun serangga, arsenic, dan gas beracun.

Menambahkan lagi dajjal rokok, ianya juga bukan sahaja menyediakan satu bencana kepada penghisapnya sebaliknya kepada orang sekelilingnya juga. Golongan yang digelar perokok pasif ini iaitu orang yang tidak merokok, tetapi menghirup
asap rokok sebenarnya lebih berisiko berbanding perokok aktif. Perokok aktif mungkin sudah memiliki sedikit kekebalan pada sistem imunitinya kerana sudah terbiasa akan racun-racun tersebut manakala tidak pada perokok pasif.

Rokok hanya mula dikenali di dunia Islam pada abad ke-9 Hijrah. Dengan itu, tiada dalil secara langsung dari Al-Quran dan Hadith yang menyatakan secara langsung akan pengharaman rokok. Walaubagaimanapun, uniknya Al-Quran dan hadith adalah ianya releven pada setiap zaman, tempat dan situasi. Metod usul fiqh yang juga digunakan para ulama’ untuk mengharamkan tuak masam dan dadah turut diaplikasikan dalam kes haramnya rokok. Bahaya rokok sudah tersangat jelas dan kesan ketagihannya juga melarat di seluruh dunia. Dari itu, firman Allah didalam Al-Quran “Jangan kamu biarkan diri kamu jatuh kepada kebinasaan” dan “Dan janganlah kamu
memboros, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang pemboros” dan Hadith Rasulullah s.a.w “Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh membahayakan diri orang lain” adalah tersangat sesuai dengan amalan merokok. Walaubagaimanapun, bukan didalam lingkungan kemampuan penulis untuk membahaskan akan kaedah-kaedah usul-fiqh yang diguna pakai ulama’ untuk menjatuhkan haramnya rokok sepertimana haramnya arak, tuak, dadah dan pil khayal.

Majlis Fatwa Malaysia melalui muzakarah ke-37 telah sepakat untuk mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Majlis Ulama’ Indonesia juga pada Januari 2009 telah mengeluarkan fatwa yang sama akan haramnya rokok. Barisan-barisan ulama’ yang mengharamkan rokok adalah seperti Dr. Yusuf Al-Qardhawi (mufti Qatar), Syeikh Abdul Aziz Binbaz (mantan mufti Arab Saudi), Syeikhul Hadith Nasiruddin Al-Albaani, Dr. Farid Waseel (mufti Mesir), syaikh Muhammad bin Ibrahim, dan Prof. Dr. Abd Al-Halim Mahmud. Nah! Nama-nama besar yang disebutkan tadi adalah ulama’-ulama’ muktabar!. Mungkin salah seorang dari mereka adalah mujaddid di abad ini.

Jika nasihat diberi kepada para perokok terdapat beberapa jawapan “cliche” yang biasanya diberikan mereka. Antaranya adalah semua benda adalah berbahaya jika berlebihan. Jawapan saya adalah “how much is too much ?” Red wine adalah baik untuk jantung jika diambil dalam kadar sedikit, namun apakah jatuh hukum haramnya kerana perkara tersebut ? dan siapakah yang boleh memastikan bahawa ketagihan terhadap red wine tidak berlaku selepas itu. Sama kepada para perokok, mereka pada mulanya cuba-cuba, namun akhirnya ? menjadi hamba durjana kepada batang-batang mahal. Antara jawapan lain yang diberikan adalah “haramnya rokok itu adalah khilaf ulama’ “. Kalau begitu kata saya nyatakan nama ulama’nya dan nyatakan dari mana sumber pengambilan hukumnya ? ternyata tidak mampu dijawab walau seorang dari kalangan mereka.

Tidak mustahil bagi perokok tegar yang menyatakan rokok itu adalah darah daging mereka untuk meninggalkan rokok. Ianya adalah mitos dari mulut mereka yang berpaksikan hawa nafsu, manakan tidak, jikalau begitu tentulah tiada orang yang sanggup meninggalkan tabiat merokok mereka. Walhal, ramai sahaja di kalangan umat manusia yang berjaya meninggalkan tabiat merokok mereka walau sudah berpuluh tahun mengambilnya. Yang penting adalah niat dan kemahuan. Andai para penagih dadah berjaya mengatasi masalah ketagihan inikan pula para perokok!. Tambahan pula, sudah berbagai-bagai teknik telah dicipta oleh mereka-mereka didalam bidang perbuatan untuk mengatasi masalah ketagihan rokok yang terbukti keberkesanannya. Hanya tinggal para perokok sahaja yang perlu mencarinya seperti kata pepatah “gayung tidak bersambut”.

Trend pengambilan rokok di kalangan masyarakat hari ini mungkin disebabkan pada awalnya rokok itu dianggap sebagai sesuatu yang “cool” pada kacamata akal pendek mereka. Mungkin juga rokok lebih sinonim sebagai medium sosial bagi masyarakat yang pelbagai latar belakangnya. Atau bagi remaja, seandainya mereka tidak merokok maka mereka tidak akan diserap kedalam kelompok “otai” atau “gedebe”. Prasyarat untuk menjadi orang-orang otai atau gedebe adalah mereka perlulah seorang perokok. Tidak salah juga jika dikatakan bahawa pada awalnya, merokok hanya dilakukan sekadar cuba-cuba namun akhirnya ketagihan itu memakan diri mereka. Namun walau apa pun asbabnya, tidak dapat disanggah lagi bahawa merokok itu merbahayakan kesihatan dan haram di sisi syariah.

Ironinya, dari dua golongan agamawan dan sekularist, hanya golongan perokok yang mati-matian mempertahankan faedah rokok. Segala hujah yang disampaikan akal sihat adalah karut, berniat jahat, mainan golongan aristokrat dan khilaf ulama’ yang diperselisihkan. Rokok itulah yang bagus, rokok itulah yang baik dan rokok itulah yang bermanfaat. Sindrom ini tidak lain dan tidak bukan adalah sindrom “bertuhankan hawa nafsu!”.